Alhamdulillah, sekitar jam 10malam kami tiba di Mekah Al-Mukarramah. Setelah selesai urusan check-in di kaunter, kami diundang makan malam sebelum masuk ke bilik masing-masing. Kita perlukan tenaga untuk melaksanakan ibadah umrah wajib sebentar lagi, jadi makan dan minumlah secukupnya ye. Awas, jangan cuci tangan dengan sabun wangi pula lepas makan, kita masih di dalam ihram. Haram memakai bau-bauan termasuk sabun wangi. Nanti kena dam pula.
Makan kali pertama di bumi Mekah |
Wafiy suka makan kek. Muka baru bangun tidur :p |
Setelah siap makan, kami naik ke bilik penginapan kami untuk letak beg dan bersedia untuk menjalankan umrah wajib. Kami dimaklumkan untuk berkumpul pada jam 1pagi di lobi hotel. Setelah naik ke bilik, tanpa di sangka jendela kamar kami menghadap ke Masjidil Haram dan Kaabah jelas kelihatan dari bilik kami. Alhamdulillah, terima kasih atas nikmatmu Ya Allah.
Sebaik sahaja kita melihat Kaabah, kita disunatkan untuk berdoa. Doanya kita boleh rujuk dari buku panduan Umrah. Jadi, apabila kami pertama kali membuka jendela, Hakim mengetuai bacaan doa kami. |
Selesai membaca doa, kami unpack apa yang patut. Saya membersihkan Wafiy, ganti lampinnya dan bersedia untuk menjalankan ibadah umrah wajib kami. Buat ibu-ibu yang dalam ihram, pastikan tidak memandikan atau membersihkan anak dengan sabun biasa yang wangi, kerana ianya di larang. Sebaiknya gunakanlah aie sahaja atau sabun khas untuk ibadah umrah yang boleh dibeli di kedai-kedai yang menjual barangan umrah dan haji ketika di Malaysia.
Jam 1pagi, kami berkumpul di lobi hotel sebelum bergerak secara berkumpulan untuk mengerjakan Umrah Wajib diiringi ustaz mutawif untuk memandu arah kami. |
- Kami bergerak keluar dari hotel dan merasai kedinginan dini hari kota Mekah. Pertama kali melihat dinding Masjidil Haram yang sebenar, hati mula tidak keruan, rasa berdebar, gembira, dan terharu bercampur baur. Kami masuk melalui pintu yang terdekat dengan hotel kami. Kami meninggalkan kasut di luar Masjidil Haram, namun sepatutnya kita bawa kasut masuk ke dalam masjid dan letakkannya di rak-rak yang disediakan. Jika letak di luar masjid, kasut kita akan disapu oleh pekerja masjid ke dalam tong sampah besar. Walaubagaimanapun, dinasihatkan supaya tidak membawa kasut kita bersama ketika mengerjakan tawaf, dikhuatiri kita menanggung najis kerana kasut kita mungkin kotor.
- Kami melangkah masuk ke dalam masjid. Sebaik sahaja kelihatan Kaabah dengan mata sendiri, pasti siapa sahaja akan merasakan sesuatu yang sukar digambarkan dan menitiskan air mata. Inilah kiblatku. Subhanallah. Tanpa mensia-siakan waktu, kami mengikut ustaz mutawif ke kawasan lampu hijau, tempat bermulanya tawaf. Bermulalah ibadah umrah kami. Masyaallah. Bagai mimpi.
- Walaupun jam 1pagi, rumah Allah yang teragung ini tidak pernah sunyi. Ramai yang mengerjakan tawaf, tapi tidaklah padat. 7pusingan tawaf kami lengkapi dengan selesa. Wafiy pun amat tenang dan sedikit pun tidak merengek. Suasana sejuk dan nyaman serta mata yang tidak lekang melihat sekeliling dan jemaah-jemaah lain yang turut mengerjakan tawaf mungkin menghiburkan hatinya. Selesai solat sunat tawaf, kami minum air zamzam yang tersedia banyak di dalam masjid.
- Seterusnya kami melaksanakan Saie dari bukit Safwa ke Marwa yang jaraknya sekitar 420meter. Ada sekali pada Saie ke-3 ustaz berhenti di tempat air zam-zam untuk kami berehat seketika dan minum. Alhamdulillah, ustaz tengok Wafiy, kagum dia. Anak ini langsung tidak bermasalah. Kuasa Allah, kami amat bersyukur. Ustaz sempat menghembuskan doa di ubun-ubun kepala Wafiy. Moga Wafiy jadi anak yang soleh. Insyaallah. Kami meneruskan perjalanan Saie kami, sekitar pusingan ke-5, Wafiy tertidur begitu sahaja tanpa merengek atau apa-apa yang menyukarkan kami. Alhamdulillah. Akhirnya kami melengkapkan 7pusingan Saie dan bertahalul di Bukit Safa sekitar jam 4pagi.
- Memang letih, tipulah kalau cakap tak penat langsung. Kita dah berjalan sejauh 5.1km hanya untuk urusan ibadah umrah ini. Satu pusingan tawaf adalah sekitar 314meter, dikali dengan 7pusingan menjadikan ia 2,198meter atau 2.19km. Manakala untuk Saie, jarak dari Safa ke Marwah adalah sekitar 420meter, dikali 7kali berulang alik menjadikannya 2,940meter atau 2.94km. Ditambah dengan jarak tawaf tadi, totalnya ialah 5,138meter atau 5.1km hanya untuk urusan ibadah umrah. Belum lagi di campur jarak hotel kita ke Masjidil Haram. Mungkin boleh mencecah sehingga 6-7km untuk pergi dan balik dengan berjalan kaki. Tapi dalam penat itu gembira dan bahagia. Kami berehat di atas batu-batuan bukit Marwah.
Di Bukit Marwah. Alhamdulillah, selesai ibadah Umrah kami yang pertama. |
- Waktu Subuh sekitar jam 4.30am. Kira-kira ada 30minit lagi. Kumpulan jemaah kami tidak pulang dahulu ke hotel, ingin terus menuggu waktu Subuh di masjid. Namun kami sekeluarga ingin pulang ke bilik hotel memandangkan Wafiy dah tertidur, mak cakap, biarlah saya dan Wafiy di bilik saja. Mak dan ayah nak hantar saya balik ke hotel, Hakim nak ikut juga kerana dia nak belajar macam mana keluar dari masjid untuk ke hotel. Masjidil Haram sangat besar, kita boleh tersesat jika tersalah jalan. Untung saja mak dan ayah pernah mengerjakan Haji dan Umrah sebelum ini, jadi mereka agak arif tentang kawasan-kawasan di dalam masjid.
Ketika perjalanan pulang ke hotel, sempat selfie sikit. Inilah suasana Saie. Kalau sedang Saie jangan ambil-ambil gambar ye. Dah selesai macam kami takpa :p |
- Sebaik saja keluar dari masjid, saya mencari kasut saya yang ditinggalkan sebelum ini. Kasut saya dan Wafiy diletakkan di dalam karung dan diletak di luar masjid. Telah tiada. Kasut-kasut jemaah kumpulan kami yang lain juga telah tiada. Ayah kata, ini pasti telah disapu oleh pekerja masjid, kerana sebenarnya tidak boleh tinggalkan kasut di situ. Jadi pagi itu saya pulang ke hotel berkaki ayam. Tidak mengapalah, pengajaran dan bukan rezeki saya lagi. Sebaik saja tiba di bilik, Wafiy pun terjaga dari lenanya. Ceria dan cergas. Dapat tidur lena dalam Masjidil Haram sebentar tadi lah katakan. Mak, ayah dan Hakim kembali ke masjid. saya dan Wafiy melihat keindahan suasana Subuh Masjidil Haram dari jendela bilik kami.
Suasana Subuh di luar Masjidil Haram. Betapa indahnya. |
HARI PERTAMA DI MEKAH
(18 Feb 2015)
Hari ini tiada sebarang aktiviti ziarah atau umrah yang disusun oleh Pens Travel, agensi Umrah kami. Semua jemaah boleh melakukan aktiviti bebas. Di sebelah pagi, selepas sarapan kami berehat saja di bilik. Mak, ayah, Hakim ke masjid pada waktu Zuhur dan pulang ke hotel untuk makan tengah hari dan berehat lagi dibilik. Setelah hampir waktu Asar, kami bersiap-siap untuk ke masjid dan niat untuk beriktikaf hingga waktu Isya. Selepas Isya kami pulang ke hotel untuk makan malam dan berehat. Saya yang kehilangan kasut masih belum beli kasut baru kerana tak larat nak mencari. Saya pinjam kasut Hakim saja untuk sementara waktu kerana cuma nak ke tempat makan dan ke masjid. Di dalam masjid kita tak perlu pakai kasut pun kan, masa pun banyak di masjid, jadi tak perlu pakai kasut 🙂
Wafiy bersedia untuk ke Masjidil Haram untuk kali ke-dua 🙂 |
Walaupun jarak hotel kami untuk ke Masjid tidak begitu jauh, lebih baik ibu-ibu gunakan baby carrier (apatah lagi jika jauh) kerana untuk menggendong anak dengan tangan naik dan turun tangga masjid bukanlah mudah. Masjid itu sendiri sangat besar dan perlu banyak berjalan. Jangan korbankan tenaga kita untuk sesuatu yang boleh kita elakkan. Kita tidak patut berasa letih dan penat gara-gara mendukung anak dan menjejaskan ibadah kita kelak. |
Dalam perjalanan dari hotel dan masuk ke dalam masjid, Wafiy dah tertidur. Mekah pada waktu ini sejuk, jadi mungkin sangat damai untuk Wafiy. Alhamdulillah, Wafiy tertidur jadi memudahkan saya untuk membaca Al-Quran dan beriktikaf di dalam Masjidil Haram. |
HARI KE-DUA DI MEKAH
(19 Feb 2015)
Hari ini selepas sarapan kami dibawa ke Jabal Rahmah. Hakim dan ayah naik mendaki Jabal Rahmah, saya dan emak cuma di kaki bukit. Tak sanggup rasanya nak mendaki, dengan panas terik pula matahari ketika itu. Cuaca memang sejuk, tapi panahan mentari memang tajam di sana, maklumlah, padang pasir tanpa awan. Sinaran matahari memang terasa lebih menyengat. Ustaz kata tak mengapa tidak naik ke Jabal Rahmah, di kaki bukit pun memadai, kerana Rasulullah sendiri pernah berdoa di atas untanya ketika melewati kaki bukit ini. Jadi, tidak salah jika kita berdoa di bawah sahaja, Insyaallah tetap mustajab. Yang penting berdoalah dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rahmat dari Allah.
Di kaki bukit Jabal Rahmah. Mentari menikam kulit :p |
Mak sedang berdoa di kaki bukit Jabal Rahmah. |
- Setelah itu kami di bawa ke Masjid Ji’ranah atau Jurana untuk bermiqat bagi mengerjakan umrah kali ke-dua. Di masjid ini ada sebuah telaga yang digelar Telaga Racun atau Telaga Ji’ranah. Menurut ustaz, sejarahnya dahulu pada zaman Rasulullah, air dari telaga ini sering diminum oleh Rasulullah. Jadi ada orang kafir meletakkan racun dengan niat untuk membunuh Rasulullah. Perkhabaran tentang perkara itu sampai kepada Rasulullah. Baginda telah meludah ke dalam telaga itu, dan dengan izin Allah hilang racunnya dan malah air itu enak diminum dan ianya kekal hingga ke hari ini. Namun begitu, kini pihak Saudi tidak membukanya kepada umum.
- Selesai kami bermiqat, kami dibawa pulang ke hotel. Sebaik saja tiba di hotel, hampir masuk waktu Zuhur, jadi kebanyakan jemaah kumpulan kami terus saja ke masjid. Setelah makan tengah hari, kami berehat sebentar di bilik. Sekitar jam 3petang kami keluar ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah untuk kali ke-2. Kami selesai mengerjakan umrah kira-kira jam 6petang. Tidak lama setelah itu masuk waktu Maghrib. Setelah selesai solat Maghrib, kami pulang ke hotel. Mak, ayah dan Hakim ke masjid semula untuk solat Isya, tapi saya hanya solat di bilik. Untung saja dibilik kami ada PA system langsung dari Masjidil Haram. Jadi setiap bacaan imam dapat kami dengar dengan jelas dari dalam bilik.
Ketika ini kami baru selesai bertahalul untuk umrah ke-dua. Wafiy pun berihram :p |
HARI KE-TIGA DI MEKAH
(20 Feb 2015)
Hari ini sekali lagi aktiviti bebas. Itinerari kami di Mekah adalah selang sehari umrah, dan selang sehari bebas/ziarah (lawatan). Jadi hari ini rencananya nak cari kasut baru :p Selepas sarapan, kami ke Safwa Tower. Ada supermarket di sana yang menjual pelbagai keperluan macam supermarket di Malaysia juga, macam MidValley, KLCC, atau Queensbay kalau di Penang tu. Banyak butik-butik, ada kedai coklat (rasa macam kat Langkawi pun ada). Tapi harus bijak memilih. Harganya tidaklah murah 🙁
Untuk suasana santai, ke shopping mall macam ni saya back carry aje Wafiy. Lebih mudah nak cuba-cuba kasut :p |
Ini suasana shopping mall di Safwa Tower. Macam-macam jenis jubah ada. Rambang mata nak pilih. |
Baru seminggu di tanah arab tak da lah rindu masakan Malaysia. Jadi bergambar aje di restoran ini. Lokasi, food court Safwa Tower. Saya dah dapat kasut baru. tak banyak pilihan. Ini aje yang sesuai :p |
- Saya beli sehelai jubah, kerana memang saya dah tak cukup baju nak pakai. Jadi dinasihatkan untuk bawa baju yang cukup supaya anda tak bermasalah; tak cukup baju di sana. Nak cari jubah pun sebenarnya susah walaupun nampak banyak dijual sebab siapa yang tak berapa nak tinggi macam saya, jubah-jubah di sana kebanyakan super labuh. Jadi kenalah bawa alatan menjahit spare seperti benang, gunting dan jarum ye untuk menjahit kaki jubah yang labuh :p Saya pula ibu menyusu. Jadi nak cari jubah yang nursing friendly juga agak mencabar di sana. Akhirnya saya dapat juga kasut baru. Walaupun bukanlah pilihan hati, tapi itu saja yang ada dan harga yang berpatutan di situ. Saya doakan agar pembaca entri saya tidak kehilangan kasut di sana. Amin. Selain itu, kami juga ambil kesempatan untuk beli buah tangan seperti sejadah dan jubah kepada sahabat handai dan saudara mara di sini.
- Kami pulang ke hotel sebelum Zuhur. Selepas solat, seperti biasa kami makan di kafe hotel dan balik berehat di bilik. Saya ambil kesempatan masa terluang untuk menjahit jubah yang labuh untuk di pakai. Sekitar jam 2pm macam tu, kami keluar lagi, kali ini sekitar belakang menara jam. Di sana banyak jualan dan kedai-kedai tepi jalan yang di bawah hotel-hotel. Ada pelbagai kedai termasuk kedai emas, rempah-ratus, kurma, baju-baju, sejadah dan pelbagai lagi termasuk money changer. Harga barangan di sini lebih murah berbanding di Safwa Tower. Jadi kami kesempatan ini untuk mencari apa-apa yang menarik untuk kami bawa pulang ke tanah air. Sebelum Asar, sekitar jam 3pm kami segera pulang ke hotel. Ini antara suasananya:
Siapa saja ke Mekah mesti bergambar dengan burung-burung yang banyak ni 🙂 |
Wafiy seronok berkejaran dengan burung. Jika anda dalam ihram jangan kejar burung ye. Menakutkan haiwan itu boleh dikenakan dam. |
Ini antara suasana kedai-kedai yang pelbagai. Jubah budak warna putih ni RM10 aje. Kebanyakan pekerja kedai boleh berbahasa Melayu. Jadi mudah nak tanya harga dan tawar menawar 🙂 |
- Selepas solat Maghrib, kami di bawa ke Muzdalifah untuk makan malam atau kenduri yang dianjurkan oleh pihak Pens Travel. Kami peserta jemaah Umrah juga diberi kesempatan jika ingin menyumbang untuk kenduri tersebut dan menamakan atas arwah-arwah yang kita kenali untuk sumbangan kenduri itu. Majlis tahlil ringkas bersama tazkirah dibuat pada malam itu. Sebelum mula acara, kami disajikan dengan teh arab panas dan manisan arab, baklava. Memang sedap. Suasana sangat dingin dengan angin yang tidak henti bertiup. Untung pada awalnya Wafiy tidur. Pada waktu nak mula makan, dia dah terbangun. Saat keluarkan dia dari carrier, Wafiy sampai menggigil kesejukan. Belum pernah saya lihat Wafiy menggigil macam tu. Kami yang dewasa pun sangat sejuk, apa lagi anak kecil berusia 1tahun 5bulan seperti Wafiy. Saya tak putus berdoa agar Wafiy tidak apa-apa. Malam itu kami makan nasi arab. Sedap betul, Wafiy pun makan banyak. Alhamdulillah 🙂
Karpet dibentang untuk para jemaah duduk. Jika musim haji, di sinilah tempatnya rukun haji dilaksanakan, bermalam di Muzdalifah. |
Dalam suasana amat dingin, kami mendengar tazkirah 😛 |
Nasi Arab di tanah Arab. Memang tiada tandingan. |
- Setelah semua jemaah siap makan, kami pun pulang ke hotel untuk berehat. Esok kami akan melaksanakan ibadah umrah yang ke tiga. Jumpa esok, di entri akan datang, Duyufurrahman [Part4] – Mekah hingga keberangkatan pulang ke Malaysia.
Video kenangan kami ketika di Mekah
Nak mudah umrah bersama anak kecil? lawati www.markassikecil.com.my untuk pelbagai kelengkapan travel yang bermanfaat!