Pengalaman ibu menyusukan anak mungkin ada perbezaan antara satu-sama lain. Walaubagaimanapun secara umumnya rata-rata adalah hampir sama. Di entri ini saya ingin kongsikan pengalaman penyusuan (susu badan dan formula) anak pertama saya (dan masih satu-satunya), Wafiy selama 2tahun ini. Moga bermanfaat 🙂
#SEBELUM KELAHIRAN
Ketika masih hamil, saya tidak banyak buat pembacaan tentang isu-isu dalam penyusuan. Ketika itu pembacaan dan pencarian maklumat lebih kepada proses kelahiran atau bersalin itu sendiri. Walaupun info penyusuan saya agak minima ketika itu, berikut apa yang saya dapatkan sebelum melahirkan Wafiy sebagai persediaan menyusukannya;
1- Set penyusuan Shaklee (Alfalfa, ESP, Omega Guard, Vit C, Zinc Complex, & Ostematrix)
2- Bra menyusu (5helai)
3- Botol MimiJumi
4- Sehelai blouse menyusu
5- Washable nursing pad (3pasang)
6- Nursing Pillow
Itu aje. Nampak macam tak begitu bersedia kan? Saya ada survei breastpump masa tu. Tapi semua butik barangan bayi yang saya pergi suggest beli pam lepas baby lahir. Jadi saya percaya dengan saranan mereka dan tak beli (tapi saya nak sarankan ibu-ayah sekalian, belilah pam dari sebelum bayi lahir. Kenapa? Saya akan ceritakan). Jadi saya memang tak beli apa-apa pam walaupun survey beria :-p

Barang berkaitan penyusuan yang dibeli awal sebelum kelahiran Wafiy.
Nursing Pillow pula amat membantu untuk menyokong posisi yang betul dan selesa ketika menyusukan anak.
#SELEPAS BERSALIN
Sebaik saja Wafiy dilahirkan, ketika masih di dalam labour room PPUM, jururawat telah memberikan peluang pertama untuk saya menyusukan Wafiy. Namun begitu saya rasa ianya kurang berjaya kerana Wafiy tidak dapat latch (melekap) dengan sempurna. Ketika sedang mencuba, ayah Wafiy tiba di luar labour room untuk mengazankannya. Jadi jururawat bawa Wafiy keluar (di PPUM suami tidak dibenarkan masuk ke labour room. Jadi jika ibu-ibu ingin ditemani suami ketika bersalin, pilihlah untuk bersalin di hospital lain). Walaubagaimanapun pengalaman bersalin di PPUM saya kira ianya suatu pengalaman yang baik dan sangat berpuas hati dengan perkhidmatannya. Ketika masih di hospital, ada jururawat penyusuan akan pergi dari katil ke katil untuk mengajar teknik cara menyusu badan yang betul. Lengkap dengan sesi latihan praktikal dengan anak sendiri. Namun untuk saya yang pertama kali jadi ibu ketika itu merasakan ia adalah sesuatu yang sangat sukar~!!!
Pulang ke rumah. Ini adalah hari ke-3 Wafiy di luar rahim dan masih gagal latch dengan baik. Susu pun tak ada~!!! Pasti semua ibu akan gusar. Pada hari ke-4, makcik urut datang berurut. Urutan bersalin ini termasuklah urut susu. Alhamdulillah selepas urut hari pertama, susu terhasil dengan jayanya. Dan malam itu saya bengkak susu. Wafiy minum sikit aje sebab dia masih tak boleh latch dengan baik. Walaupun saya bengkak susu, tapi Wafiy masih kelaparan kerana dia tak dapat nak hisap. Kesian Wafiy. Esoknya makcik urut datang lagi. Dia kata Wafiy susah latch sebab puting payudara saya pendek dan saluran susu pun masih ada yang tersekat. Ye lah, anak pertama la katakan, saluran susu belum pernah guna. Jadi makcik tu buat ‘pembersihan’ puting. Nak cerita bagaimana prosesnya, agak sukar tapi memang menyakitkan dan pedih~!!!
Setelah puting payudara ‘dibersihkan’, barulah susu badan saya keluar dengan lancar. Makcik urut kata, memandangkan Wafiy masih sukar untuk latch, dia sarankan untuk saya pam susu ke dalam botol. Pam susu tak ada lagi. Aduhai, nak tak nak walaupun dalam pantang lagi terpaksa jua keluar cari pam di kedai barangan bayi. Review dari senior-senior dan internet mengatakan Avent manual breastpump adalah yang paling best. Namun harganya sehingga RM200++. Ada alternatif lain yang disarankan iaitu UNIMOM manual breastpump. Menurut review ianya sehebat Avent. Harganya sekitar RM80++. Tapi, apakandaya, di saat kecemasan ini, di kedai yang saya kunjungi itu kehabisan stok untuk UNIMOM (saya dah pernah survei di kedai yang sama sebelum bersalin, masa tu ada lagi). Menyesal tiada gunanya, beli lah apa yang ada…hehe… Untuk kali ini, saya beli Rumble Tuff manual breastpump dengan harga RM150. Alhamdulillah, ia satu pembelian yang berbaloi untuk saya. Ia berfungsi dengan baik dan membantu saya mengosongkan payudara.
Rumble Tuff manual breast pump

Selain itu, makcik urut juga ajarkan saya gunakan puting botol yang standard tu ke puting payudara saya. Jadi bila baby nak hisap, lekapkan dan baby hisap dari puting itu. Susu badan akan keluar memenuhi puting plastik itu, dan baby dapat hisap susu 🙂 Alhamdulillah kaedah ini bukan sahaja membolehkan Wafiy dapat minum susu badan, malah membantu membaiki struktur puting payudara agar lebih sesuai untuk penyusuan badan secara langsung. Sekitar 2minggu juga saya bergantung kepada puting susu botol itu. Akhirnya Wafiy boleh hisap direct susu badan tanpa perantara lagi. Buat ibu-ibu yang menghadapi masalah flat nipple (puting tidak cukup panjang) atau inverted nipple boleh cuba teknik ini. Terima kasih makcik urut, Jasamu dikenang 🙂
Puting botol jenis standard

#KETIKA BERPANTANG
Waktu berpantang pasti terasa amat sukar terutama bagi ibu-ibu yang pertama kali melaluinya. Sakit pasca-bersalin lain pula ceritanya. Tidak kira bagi yang bersalin normal atau pembedahan, ia ada kesakitan selepas bersalin masing-masing. Seperti saya, bersalin normal tapi ada dipotong dan menurut dokter luka saya agak besar dan perlu dijahit. Dalam tempoh masa penyembuhan luka jahitan ini amatlah memeritkan kerana kita sukar untuk duduk atau baring dengan nyaman. Rasa pedih yang tidak dapat digambarkan akan membuatkan kita sukar untuk menyusukan anak dengan selesa. Penggunaan nursing pillow ketika ini sangat membantu. Bayi di awal kelahiran ini perlu diberi susu setiap dua jam. Apatah lagi jika anak kuningnya tinggi, kita tidak boleh lalai dari memberikannya susu badan, kerana itu sebaik-baik penawar buat kuning anak.

Wafiy kena kuning, jadi saya perlu pastikan Wafiy cukup susu agar paras kuningnya cepat turun. Jadi, saya minum susu Hi-Goat untuk banyakkan susu dan moga-moga khasiat susu kambing dapat mengalir kepada Wafiy dan cepat turun kuningnya. Awas, jangan bagi baby yang minum pula susu kambing tu, ibu yang minum ye. Selain itu, pemakanan dalam pantang mungkin agak terhad. Jadi cubalah makan sayuran yang membantu penghasilan susu ibu seperti lobak putih, sayur asin-asin/pucuk manis, peria dan minum susu semampunya.
#SELEPAS PANTANG
Sekitar habis 44hari berpantang, belum pun umur Wafiy 2bulan, susu badan saya semakin kurang. Si ayah pun risau bila anak macam lapar dan saya rasa dah kekeringan susu. Jadi jalan pintas, si ayah beli susu formula, Anmum. Dengan berat hati, sehari sekali susu formula diberikan di sebelah petang kerana masa tu memang breast saya dah kosong. Sekitar seminggu, jadi 2kali pula sehari Wafiy diberi susu formula. Saya mula rasa runsing tentang penyusuan badan ini dan mulakan pembacaan secara mendalam dan mencari informasi dan petua tentang cara membanyakkan susu badan. Ini antara usaha saya;
Pertama: Beli double electric breastpump dan buat power pumping. Bagaimana membuat power pumping? Caranya ialah pam kedua-dua belah payudara secara serentak selama 10minit. Kemudian rehat 10minit. Ulang lagi pam 10minit dan rehat 10minit. Kemudian ulang untuk kali terakhir, pam 10minit. Secara ringkas, 3kali sesi pam selama 10minit dan rehat juga 10minit untuk setiap sesi. Walaupun ada kalanya kita akam rasa susu tak keluar, teruskan dan lengkapi juga 10minit itu kerana ia akan menstimulasikan penghasilan susu. Positiflah, insyaallah ia memang berkesan. Saya lakukan power pumping ini sekali sehari iaitu setiap malam, sekitar jam 2pagi-3pagi. Saya merasakan penghasilan susu saya meningkat secara drastik dalam tempoh seminggu itu. Dinasihatkan juga untuk membeli pam yang hospital grade atau atau heavy duty seperti UNIMOM FORTE (twin/double pump) yang saya beli dengan harga  RM398. Harga pasaran RM420 jika tak salah pada ketika itu.
UNIMOM FORTE

Kedua: Pemakanan. Saya meneruskan pengambilan supplement Shaklee seperti Ostematrix, Vitamin C, dan OmegaGuard. Sayur ‘kegemaran’ adalah peria, daun asin-asin/pucuk manis, dan lobak putih adalah pilihan paling kerap untuk di makan. Minuman pula, setiap hari pasti minum Horlicks. Jika ke kedai makan pun pasti order air Horlick. Kadang-kadang panas, kadang-kadang sejuk (ais). Horlick ni petua dari makcik urut juga 🙂 Saya juga minum susu segar dan susu panas. Selain itu ada juga makan kurma minima sebiji sehari. Selain itu, sangat banyak minum air. Menyusu badan ni buat kita rasa dahaga sangat-sangat. Jadi minumlah dengan banyak. Kita juga akan kerap lapar, jadi makanlah jangan biar diri kelaparan kerana ia akan menjejaskan penghasilan susu badan. Makanlah yang seimbang, agar khasiatnya tersalur kepada bayi anda.
Ketiga: Berdoa agar dicukupkan susu untuk anak. Doalah yang bersungguh-sungguh. Waktu menyusukan anak, terus berdoa, Ya Allah cukupkanlah susuku buat anakku. Selain itu, saya turut mengamalkan zikir Al-Matin yang bererti Yang  Maha Teguh 100kali sehari. Kadang-kadang tak sempat juga nak hitung dah baca berapa kali, jadi asal nak menyusu, nak mengepam, duduk saja-saja kalau teringat, pasti saya baca Ya Matin berulang kali. Bacalah juga Bismillah di setiap kali menyusu dan mengepam. Insyaallah susu kita akan cukup buat anak kita.
Zikir untuk memperbanyak susu ibu

Keempat: Berfikiran positif bahawa saya mampu menyusukan Wafiy. Ramai yang kata bayi lelaki memang menyusu banyak. Tapi yakinlah rezeki itu atas Allah berdasarkan usaha kita. Selebihnya biarlah Allah jua yang menentukan. Setiap kali menyusu, saya berbicara dengan Wafiy, “minumlah, susu ini akan cukup untuk mu, Insyaallah” saat itu juga saya rasakan susu keluar makin laju. Alhamdulillah.
#USIA 3-4 BULAN
Pada ketika ini saya tidak beri Wafiy susu formula lagi. Memang kadang-kadang rasa tak cukup susu, tapi saya nekad untuk tidak top-up susu formula sama sekali. Saya percaya dan yakin dengan konsep supply dan demand. Selagi kita memberi, selagi itu akan ada penghasilan susu baru. Saya juga sedar dan teringat kata-kata nurse di klinik ketika check-up Wafiy untuk usia 2bulan yang lalu. Seperti biasa, nurse akan tanya, bagi anak susu apa? Saya cakap 90% susu badan, sehari sekali ada bagi susu formula. Nurse tanya, susu tak kurang ke? Selalunya kalau ibu mula beri susu formula, susu badan akan berkurang. Ohh baru saya tahu. Patutlah saya rasa susu macam makin sikit. Jadi kerana itu saya nekad untuk berhenti memberi susu formula. Saya khuatir susu badan saya akan terus berkurang. Jadi sejak itu saya memang nekad. Tidak akan berikan susu formula sama-sekali. Alhamdulillah, memang benar kata nurse tu, setelah berhenti beri susu formula, saya dapat merasakan susu badan saya semakin banyak.
TAPI, ada masalah lain pula. Apabila saya keluar pergi shopping atau sebagainya, saya rasa malu untuk menyusukan Wafiy. Mungkin kerana belum biasa, saya juga tidak yakin untuk menyusu badan di luar walaupun dalam kereta. Rasa semacam :-p Mungkin ramai yang pertama kali menjadi ibu berperasaan seperti saya. Mungkin kerana kekurangan baju menyusu, jadi nak selak-selak tu memang malu. Tapi setelah beli baju menyusu tambahan, tetap rasa malu. Kadang tu, saya sampai bengkak susu dan keras macam batu dah payudara ni. Tapi tetap rasa berat nak susukan Wafiy dan sanggup bancuh susu formula. Saya akan sentiasa bawa spare susu formula, botol, dan air panas ke mana-mana. Keadaan ini berlarutan hingga Wafiy 4bulan. 
Kebetulan saya ada membaca tentang NIP (Nursing in Public). Rupanya ramai yang seperti saya, malu untuk menyusu di tempat awam. Daripada pembacaan itu, kunci utama untuk menjayakan NIP ini adalah yakin dan jangan malu untuk menyusu kerana kita sedang memberi makanan yang sangat mahal untuk anak kita. Maka berbanggalah. Usah malu. Dapatkan baju menyusu dan nursing cover jika perlu. Ia akan membantu memudahkan penyusuan di mana sahaja. Selain itu, jangan spare susu formula. Dengan cara itu nak atau tidak kita akan ‘terpaksa’ untuk menyusu badan. Sejak itu memang saya simpan jauh-jauh susu formula dan tidak lagi bawa spare. Alhamdulillah ketika usia Wafiy 4bulan saya berjaya menyusu badan penuh 100% tanpa susu formula lagi.
Contoh nursing cover. Jenama Bobita.

#USIA 5-6 BULAN
Pada peringkat umur ini, penyusuan susu ibu kepada Wafiy lancar dan berjalan dengan baik. Dengan disiplin mengepam setiap malam, Alhamdulillah penghasilan susu dapat dirangsang dengan baik. Saya yang ketika itu sedang melanjutkan pelajaran sebagai pelajar full time by research, jadi tidaklah meninggalkan Wafiy secara rutin. Stock susu juga bukanlah keperluan harian. Saya mengepam bukan untuk stock yang banyak, tapi sekadar sebagai method untuk meransang penghasilan susu. Saya hanya meninggalkan Wafiy dibawah jagaan neneknya mungkin sekitar 1-2minggu sekali untuk ke kampus. Itupun jika perlu bertemu supervisor atau ada bengkel atau kursus. Ketika waktu rehat di kursus, saya akan mengepam menggunakan pam manual saya di surau pada waktu Zuhur. Memang waktu tu payudara akan penuh, keras macam batu. Saya akan bawa bersama 2-3botol untuk isi susu, beg sejuk, dan 3biji ice pack yang dibekukan semalaman.
Ini contoh cooler bag yang macam saya pakai. Jenama Autumnz.
Ini contoh reusable ice pack.
EBM storage bottle

Selain itu, keyakinan diri untuk menyusu di tempat awam seperti surau, restoran, dan dalam kereta telah meningkat. Malu bertempat. Saya pun beli tambahan baju menyusu. Jadi kalau keluar rumah, pasti pakai baju menyusu. Baju kurung pun saya beli/tempah yang mesra menyusu. Jadi kalau pergi makan kenduri, mudah. Tak perlu lagi nak menyelak baju kurung yang labuh. Tidak kurang juga dress atau jubah menyusu. Sehingga kini (Wafiy dah 2thn++ saya pasti keluar rumah dengan baju menyusu). Kehidupan juga jadi lebih mudah jika menyusu badan ni. Tak perlu fikir nak bawa botol, air panas dalam flusk, susu, dan sebagainya jika nak keluar rumah. Tak perlu nak basuh-basuh botol juga.
Ini antara blouse menyusu kegemaran saya. Jenama Autumnz.


#USIA 7-9 BULAN
Di usia ini Wafiy dah tumbuh gigi~!!! Pasti ramai ibu-ibu yang gementar saat anak mula tumbuh gigi. Takut kena gigit. Saya juga begitu. Wafiy mula tumbuh gigi ketika pertengahan usia 6bulan. Dua batang gigi depan, bahagian bawah. Pengalaman saya, sewaktu dua gigi bawah di depan itu tumbuh, tiada masalah dalam penyusuan. Tiada kes gigit-menggigit. Cuma kita akan berasa keras giginya itu. Pada ketika umur ini juga Wafiy sudah mula makan solid food. Namun penyusuannya tidak berkurang sama-sekali. Dia tetap menyusu kerap seperti biasa. Namun, masalah lain pula timbul. Dia mula tidak mahu botol. Sewaktu saya harus ke kampus, seperti biasa saya akan bekalkan stock susu secukupnya. Tapi kini apabila dimasukkan ke botol Wafiy menolak. Untung saja dia dah mula makan. Jadi sepeninggalan saya dia tidak mahu minum susu stock dalam botol, neneknya akan bagi makan dan minum air masak saja. Stock susu saya banyak terbazir dan akhirnya saya berhenti buat stock. Sejak itu Wafiy hanya direct feeding sahaja. Botol-botol ebm yang banyak itu saya letgo, jual murah-murah di FB kerana kekurangan ruang nak menyimpannya.
#USIA 10-11 BULAN
Waktu ini antara yang paling mencabar. Anak dah tumbuh gigi depan atas pula. Anak dah makin banyak gigi. Saya berpengalaman digigit beberapa kali. Kali pertama, Wafiy terjaga dari tidur, dia menangis. Tengah menangis tu saya nak susukan dia. Tiba-tiba. Chomppp. Auchh. Allah saja yang tau bagaimana rasanya. Pedih ya ampun. Tapi tetap meneruskan penyusuan. Esoknya dah makin pedih. Baru tengok betul-betul. Rupanya memang luka dan terkoyak dah puting payudara saya. Sebelah lagi tak separah yang sebelah lagi. Tapi kedua-dua belah kena gigit gara-gara tengah menangis/mengamuk kerana mengantuk. Jadi saya pun google cara merawat luka tersebut. Banyak review tentang krim Medela. Saya pun pergi beli di kedai barangan bayi. Tapi tak begitu berkesan buat saya. Banyak juga yang menyarankan untuk sapu susu kita sendiri ke bahagian luka dan anginkan agar puting kita kering dan jangan biar tertutup. Selain itu saya letak juga minyak gamat dan minyak kelapa dara. Seminggu lebih juga baru nak baik. Siap bernanah. Dalam tempoh itu memang menangislah. Pam pun sakit, bagi direct pun sakit. Kalau tak buat kedua-duanya keras macam batu lah jawabnya. Sakit lain pula nanti yang kunjung tiba. Tapi saya pasti, ibu manapun akan harungi walau seperit mana.
Selang sebulan, saya digigit lagi~!!! Kali ini ketika cuba melepaskan puting dari mulutnya kerana dia dah tertidur. Mungkin kerana salah teknik, membuatkan Wafiy refleks dan tergigit. Setelah tergigit sebelah kanan, saya susukan dia sebelah kiri pula. Ternyata ketika dia tertidur, dia tergigit lagi. Jadi kedua-dua belah dah terbelah, luka. Kejadian berlaku sehari sebelum kami pulang ke kampung suami di Aceh, Indonesia. Waktu naik pesawat, nak tak nak terpaksa susukan Wafiy. Memang perit dan mengalir air mata. Terpaksa tahankan juga. Sampai saja di rumah suami, saya sapu minyak kelapa dara. Itu saja yang ada masa tu. Dengan doa yang bersungguh agar cepat sembuh, maklumlah di tempat orang pula. Saya taknak lah masalah saya ini menjejaskan mood ketika di kampung suami. Tambahan pula ini pertama kali kami bawa Wafiy pulang ke Aceh. Luka berair tu kadang-kadang mengering dan melekat pada bra. Waktu nak buka bra untuk susukan Wafiy, rasa macam tersiat kulit kerana luka tu melekat pada nursing pad. Nampak kekuningan di nursing pad, ia mungkin nanah kering. Tanpa putus asa, saya tetap susukan Wafiy walau terasa urat-urat kepala semua menegang dalam menahan kepedihan. Setelah siap menyusu, saya sapu lagi minyak kelapa dara. Sesungguhnya luka kali ini lebih parah dari yang sebelum ini. Namun mungkin kerana konsisten menyapu minyak dan berdoa tanpa henti, pada hari ke-3/4 di sana luka saya sembuh. Alhamdulillah.
Sejak kejadian itu, saya google cara melepaskan puting dari mulut bayi ketika bayi tertidur. Cara yang terbaik bagi bayi yang telah tumbuh gigi atas dan bawah ialah dengan menarik/menolak dagu anak ke bawah dan tarik puting perlahan-lahan. Alhamdulillah sejak itu saya tidak pernah digigit lagi.
Cara #1: Cara ini sesuai untuk bayi yang belum ada gigi atas & bawah. Sebelum Wafiy ada gigi, saya guna cara ini. Apabila Wafiy dah tumbuh gigi, cara inilah penyebab saya kena gigit dengan parah.
Cara #2: Untuk bayi yang dah bergigi, gunakanlah cara ini. Alhamdulillah. Saya tidak mengalami episod hitam digigit lagi.

#UMUR 1TAHUN – 1TAHUN 3BULAN
Pada waktu ini saya merasakan penghasilan susu saya tidak semeriah dahulu. Saya mula khuatir. Sebelum ini saya mengamalkan pemakanan seimbang disamping memperbanyakkan makanan yang menambah susu badan seperti sayur peria, pucuk manis dan lobak putih. Saya juga menjadikan horlick sebagai minuman harian. Alhamdulillah ia amat membantu dan buktinya saya berjaya menyusukan Wafiy sehingga umurnya sekarang. Namun apabila penghasilan susu kini agak berkurang, tak merasa bengkak dan keras lagi. Tapi masih cukup untuk direct feeding Wafiy. Saya khuatir ia akan terus berkurang, jadi saya beli supplement penggalak susu atau milk booster yang banyak diiklan di Facebook. Saya cuba hampir semuanya. Tapi tak ada satu pun yang saya repeat order kerana saya tidak merasakan sebarang perubahan yang signifikan. Tapi mungkin supplement-supplement itulah yang buatkan saya dapat kekalkan (maintain) penghasilan susu. Tapi tidak lah jadi banyak sampai bengkak susu semula. Masih sentiasa ada susu untuk Wafiy itu dah cukup buat saya bersyukur dan lega.
Saya ada menghadiri kelas penyusuan. Antara topik yang dibincangkan ialah tentang pengurangan susu ibu setelah usia anak 1tahun ke atas. Kata doktor tersebut ianya wajar kerana di usia 1thn ke atas anak telah mula makan. Jadi kebergantungan kepada susu ibu untuk kenyang telah berkurang. Sistem badan kita amat unik dan hebat. Secara amnya ia akan menghasilkan susu berdasarkan keperluan anak kita. Lama-kelamaan susu badan akan habis dan ia selari dengan ajaran Islam untuk mula menyapih  (wean off) ketika umur anak 2tahun. Walaubagaimanapun, ada juga ibu-ibu yang masih dikurniakan susu ibu lebih dari 2tahun. Walaupun ini tidak normal, tapi ia mungkin kerana pengambilan supplement dan rutin mengepam yang masih aktif. Ini biasa berlaku pada ibu-ibu yang mempunyai anak susuan. Walaupun mereka tidak ada anak bayi lagi, tapi mereka tetap nengepam untuk anak susuan mereka. Masyaallah, pahala yang menggunung untuk ibu-ibu seperti ini.
Saya juga belajar tentang teknik menyapih. Kata doktor itu, ia memerlukan perancangan kerana menyapih ini merupakan proses, bukan satu tindakan serta merta. Jika merancang untuk menyapih pada usia 2thn, mungkin boleh mulakan prosesnya dari usia anak 1thn 6bln. Jika mula pada usia 2thn, mungkin kejayaan menyapih pada usia sekitar 2thn 6bln. Tidak mengapa, asalkan cuba untuk menyapih lengkap sebelum anak berusia 3tahun. Tak banyak yang dapat saya kongsikan tentang menyapih buat masa ini kerana Wafiy masih menyusu badan. Insyaallah jika saya telah berjaya menyapih kelak, saya akan kongsikan pengalaman tersebut.
#USIA 1TAHUN 4BULAN – 1TAHUN 9BULAN
Di usia ini baby kebiasaannya sangat aktif. Berlari ke sana ke mari. Wafiy tidak terkecuali. Apabila ke klinik untuk checkup rutin berat Wafiy naik sangat sedikit dari bulan ke bulan. Kata orang ia biasa bagi bayi yang menyusu badan penuh. Mereka akan lebih slim dari yang minum susu formula. Ya, saya mempercayainya kerana saya juga membuat perbandingan saiz badan Wafiy dengan anak-anak rakan dan saudara yang lain. Yang minum susu formula memang ‘tough-tough’ belaka. Manakala yang minum susu ibu sepenuhnya saiz badan semua lebih kurang Wafiy juga. Jadi saya tidak risau. Namun, nurse nasihatkan untuk cuba tambah berat badannya dengan beri makan nasi butter. Kerana ia sumber tenaga yang amat baik untuk anak-anak yang sedang aktif seperti Wafiy. Mereka memerlukan tenaga yang banyak.
Di usia 1tahun 4bulan ini juga saya perkenalkan susu kambing coklat dan juga susu segar kotak. Walaubagaimanapun kelihatan dia tidak menggemarinya. Tapi bila beri milo kotak, dia suka. Jadi saya berikan dia sekali sekala, maklumlah milo ni manis sangat. Sekitar umur 1tahun 6bulan dia mula minum susu segar kotak dengan lebih baik. Saya beri sekadar untuk minum-minum petang dia. Saya cuba beri dalam botol susu, memang dia tak mahu. Dia cuma mahu minum dari kotak pakai straw. Air masak juga dia minum dalam bekas air yang ada straw.
Botol straw. Wafiy minum air masak dengan botol begini sejak usianya 11bulan. Kadang-kadang saya beri susu kambing coklat juga dalam botol straw begini.

#1TAHUN 10BULAN – 2TAHUN
Pada usia Wafiy 1tahun 10bulan adalah bulan puasa. Sesungguhnya penghasilan susu saya sangat terasa berkurangan. Jadi saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya perkenalkan susu formula dan membiasakan dia dengan botol susu. Saya beli susu kambing formula untuk bayi 1thn ke atas jenama Halib’s. Nampak gaya dia suka dan mahu minum. Namun setelah habis satu pack, sukar untuk dapatkan susu itu lagi. Saya ada jumpa susu kambing tepung di satu kedai. Tapi ia bukan diformula khas untuk kanak-kanak. Menurut makcik kedai tu ada ibu yang beri susu ni pada anak umur 6bulan. Jadi saya beli. Tak ingat jenamanya. Susu kambing perisa strawberi. Sebaik saja sampai ke rumah, saya bancuh susu itu. Warnanya pink~!!! Masyasllah pewarnanya agak mengerikan. Rasanya pun tak sedap, strawberi campur hamis kambing. Bukan Wafiy saja yang tak sanggup minum, saya pun tak lalu.
Setelah bincang dengan suami, kami cuba beli susu jenama Dugro dan dicampur dengan Tamar Cocoa. Alhamdulillah Wafiy mahu minum. Kini umurnya telah pun mencecah 2tahun. Saya berjaya menjadikan rutin setelah dia bangun tidur, dia akan minum sekitar 4oz susu Dugro+Tamar Cocoa. Selain dari itu dia masih menyusu badan. Walaupun susu badan saya semakin berkurang, saya tidak lagi mengambil sebarang supplement untuk penyusuan. Biarlah, kerana sudah tiba masanya. Mungkin nanti apabila susu benar-banar kering dan tiada, Wafiy akan berhenti sendiri. Insyaallah, itu harapan saya. Alhamdulillah saya telah berjaya melengkapkan 2tahun penyusuan susu ibu kepada Wafiy. Kini berusaha untuk wean-off pula. Nampak gayanya ia bukan mudah juga. Moga Allah permudahkan urusan. Amin.
*Nota Kaki: Sepanjang penyusuan, saya tidak meninggalkan pengambilan supplement kalsium (untuk keperluan saya bagi menggantikan kalsium yang telah diserap oleh Wafiy), vitamin C, minyak ikan (untuk kecerdasan, kerana minyak ikan tinggi DHA, baik untuk perkembangan otak bayi). Selain itu, saya elakkan dari makan sayur kobis, kerana ia merencatkan penghasilan susu ibu. Sentiasa pilih sayur peria, pucuk manis dan lobak putih sebagai sayur harian. Minum horlick dan susu segar setiap hari.
Wafiy ketika sambutan ulang tahun ke-2 nya 🙂
Share

You Might Also Like

5 Comments

  1. Salam wah.. Bila pantang mmg lah mencabar. Bila tgk makanan rasa mcm nak telan semua. Hehe tapi tak boleh pulak nak kena jaga makan. Actually sy risau susu tak cukup. Bila bf, jadual pumping kena konsisten, tu kdg susu tak keluar as demand. Ini yg officemate bgtawu. Dia suggest guna Pump It Milkbooster if ada masalah berkaitan penyusuan. Guna konsep sapu sapu untuk tmbah susu. Haha best pulak. InshaaAllah i pon nak try jugak ni?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *