Sebut sahaja Hatyai, Thailand pasti ia sangat sinonim dengan makanan asli Thai yang ingin kita cuba seperti Tom Yam, Som Tam, dan Pulut Mangga. Sebenarnya makanan Thai lebih dari itu. Di entri ini saya ingin kongsikan pengalaman kami (saya, suami, dan anak saya Wafiy berumur 1tahun 11bulan) makan-makan di Thai sepanjang 3hari 2malam di Hatyai & Songkla pada 15-17 Ogos 2015 yang lalu 😉
#1
RESTORAN KAI TOD DECHA (HATYAI)
Ini tempat makan pertama yang kami tuju sebaik sahaja tiba di Hatyai untuk makan tengah hari. Tidak jauh dari pusat beli belah Hatyai seperti Lee Garden dan Central Hatyai. Jika berjalan kaki sekitar 8minit sahaja. Tapi kalau takut sesat, naik sahaja tuk tuk dgn harga 40baht. Yang terbaik, printscreen gambar papan tanda restoran, tunjuk pada pemandu tuk tuk. Mereka akan tahu. Insyaallah 🙂
Makan tengah hari pertama kami total 190baht untuk dua orang. Saya tak ingat harga makanan setiap satu. Rasanya sekitar 60baht ke 70baht untuk setiap hidangan. Air teh tarik ais mungkin sekitar 30baht.
Papan tanda Restoran Kai Tod Decha
Menu makan tengah hari kami: Nasi Pulut Ayam Thai, Nasi Kuning Thai, dan Teh Tarik Ais Thai. 190Baht.
Suasana: Makan bawah pondok bambu 😉
Kawasan restoran yang luas. Anak pun tak boring, boleh jalan-jalan. Tapi awasilah anak anda ye.
Restoran di buka dari pukul 11pagi hingga 10malam. Ada wifi juga.
Seterusnya kami kembali lagi ke restoran ini pada keesokan harinya untuk makan malam. Kali ini makan malam mewah sikit dengan ikan, Khaeng Som (asam pedas Thai dengan rebung dan udang) dan Kailan ikan masin dengan harga total 635 Baht.
Ikan goreng sedap..hehe..sebab tak ingat apa nama sebenar menu ni. Tapi memang sedap dengan sos istimewa, potongan ikan macam diamond tu memudahkan kita makan. Tulang pun takda. Senang suap anak makan ikan ni. Harga: 400 Baht. Portion boleh makan 4orang.
Khaeng Som (asam pedas Thai dengan rebung dan udang). Ini memang rare. Tak pernah makan di Malaysia. Memang sedap tapi pedas. Jaga-jaga ye. Harga: 120 Baht. Portion boleh makan 4orang.
Kailan Ikan Masin. Rasa macam di Malaysia, tapi  portion besar. Boleh makan 4orang tapi harga tak ingat :p
#2
KLONGHAE FLOATING MARKET (HATYAI)
Jika lihat di Google Map, floating market ini terletak sekitar 17km dari pusat bandar Hatyai. Kami ke sana 2kali, 2hari berturut-turut sebab satu hari tak puas. Folating market ini hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad dari jam 5pm-9pm waktu Thai. Untuk hari pertama kami menaiki tuk tuk dari Lee Garden dengan harga 300 Baht untuk pergi dan balik ke hotel. Harga tuk tuk boleh di tawar. Asalnya ada yang 600 Baht. Dengan tuk tuk lain kami di tawar 500 Baht. Apabila kami seperti tidak berminat, dia turunkan harga ke 400 Baht, hinggalah ke 300 Baht. Perjalanan dengan tuk tuk mungkin bergantung kepada keadaan trafik. Dan yang pasti ia tidak kurang dari 20minit perjalanan dari pusat bandar Hatyai.
Terdapat pelbagai variasi makanan dan minuman. Harga dari 15 Baht hinggalah 40 Baht. Ini antara yang dapat saya kongsikan:
Inilah papan tanda Klonghae Floating Market. Jangan lupa bergambar di sini :p
Permandangan dari atas jambatan.
Tempat jualan tidak terhad hanya di atas air. Terdapat banyak lagi ruang jualan di atas darat di kawasan floating market ini.
Antara juadah yang di jual.
Air dalam bekas tembikar 30 Baht. Bekas air boleh bawa balik. Inilah souvenir pertama kami di sana. Nak refill air sahaja pun boleh, 15 Baht.
Kami beli air fresh orange. Memang sedap. Wafiy minum dengan berselera sampai kami terpaksa pergi refill :p
Nak cuba yang ekostik boleh juga.
Ini yang kami beli bawa balik dan makan di hotel. Grilled Seafood 20 Baht, Sotong Bakar dengan telur sotong didalamnya 20 Baht.

 

Keesokan harinya kami pergi lagi ke floating market ni. Pergi sekali memang tak puas. Tapi kali ke dua ni kami pergi dengan van tour package yang kami sewa satu hari. Dari pagi melawat ke tempat-tempat menarik sekitar Hatyai, tengah hari ke Songkla dan destinasi terakhir kami ke floating market ini. Hari ke dua ni Wafiy tertidur…letih agaknya satu hari dah berjalan tengok gajah, ikan dan pantai. Untuk tempat-tempat lawatan kami nantikan entri akan datang ye 😉 Berikut antara memori hari kedua kami ke floating market ni:
Ini antara kedai-kedai lain yang anda boleh lihat selain dari sampan-sampan di floating market ini. Nak Travel mudah, pakailah baby carrier macam kami pakai ni ok?
Hari ini kami cuba Thai Coconut Ice Cream 20 Baht, Som Tam 40 Baht, dan Pisang + Ubi Bakar dengan sos karamel Thai, 20 Baht. Anak tidur lena dalam baby carrier, mak makan 😛
Antara sajian di sini. Majoriti adalah makanan ringan yang murah dan sedap-sedap belaka.
Ini yang kami bawa pulang dan makan di hotel: spring potato 20 Baht, dan Thai fish cake dengan sos pedas manis Thai, 20 Baht.

 

#3
RESTORAN KELANTAN (HATYAI)
Makan malam pertama kami adalah di sini. Kami cuba Tom Yam, Telur Bistik, dan Kailan Ikan Masin. Memang kami order tak banyak, sebab kami cuma berdua, tak larat nak makan. Portion kat sini besar-besar. Tom Yam nya memang sedap. Jarang nak dapat rasa Tom Yam macam di sini. Telur bistik agak pedas, tapi agak berbeza dengan telur bistik yang sering kami makan di Malaysia. Kailan Ikan masin sama rasanya, taklah berbeza. Tetap rasa sayur dan ikan masin…hehehe… Total kami makan dengan air 285 Baht, Agak mahal. Tapi puas kerana sedap 🙂
Papan tanda Restoran Kelantan
Makan malam kami di Restoran Kelantan.

 

#4
RESTORAN BANG FALUK (SONGKLA)
Restoran ini terletak di Samila Beach, Songkla. Terdapat deretan kedai makan dan kebanyakannya kepunyaan bukan Islam. Untuk kedai kepunyaan Muslim ada tulisan Allah Muhammad dan seangkatannya. Terdapat surau terbuka di restoran ini, jadi bolehlah menunaikan solat jika makan di sini. Makan di sini dengan suasana indah dan permandangan pantai dan langit membiru amat mengujakan. Deruan angin pantai membuatkan rasa ingin berlama-laman di sini. Pekerja kedai ini semuanya Muslim dan berwajah Melayu, Tetapi kebolehan bertutur bahasa Melayu amatlah lemah. Ada yang tidak mengerti sama sekali. Ada diantara mereka yang mengerti sepatah dua. Jadi kesabaran dan ke-kreatifan untuk anda berkomunikasi, nak tanya harga masakan dan makanan yang dijual amatlah dituntut :p
Kedai Bang Faluk. Ada surau untuk solat.
Damainya Samila Beach.
Suasana makan di pantai Samila Beach. Air Kelapa 30 Baht.
Menu ringkas kami. Nasi goreng Ayam 60 Baht. Ketam masak apa tak pasti. Tapi yang pasti sedap!!! Air mineral diiringi sebaldi ais untu kesegaran :p  Total harga makanan kami untuk kali ini adalah 400 Baht.
Ketam masak sedap…hehehe… 275 Baht. Suami saya makan ratah ja :p

 

#5
RESTORAN KAK SAH MUSLIM KITCHEN (HATYAI)
Sarapan pertama kami di Hatyai adalah di Kak Sah Restoran yang terletak berdekatan dengan Diyana Shopping Complex. Untuk sarapan kami cuma makan Roti Telur yang berharga 15 Baht setiap satu dan juga minuman panas yang berharga 15 Baht setiap satu. Total untuk sarapan kami ialah 60 Baht sahaja. Kami tiba di restoran Kak Sah sekitar jam 9.30am waktu Thai. Pada masa itu telah terhidang lauk-lauk untuk makan tengah hari. Tapi kami memilih untuk makan roti telur sahaja 🙂
Papan tanda kedai dan pilihan lauk.
Senarai harga roti-roti
Roti telur 15 Baht. Snek kacang 20 Baht. Sesuai sebagai jajan dalam van untuk perjalanan  ke Songkla. Ada juga keropok kulit ikan 😉

 

#6
RESTORAN SALMA (HATYAI)
Makan tengah hari terakhir kami di kota HatYai adalah di Restoran Salma. Sangat dekat dengan Lee Garden. Sederet dengan Lee Garden. Restoran ini sangat sesuai untuk yang bersama anak kecil macam Wafiy yang suka berlari-lari. Restoran ini berhawa dingin (air-cond) dan tertutup. Jadi selesa, sejuk dan selamat untuk anak-anak kecil tak lah lari keluar dari restoran. Pegawai restoran juga mesra anak kecil dan boleh berbahasa Melayu dengan baik. Kami order air pegaga, air serai, bubur nasi ikan tenggiri (bagus untuk yang ada anak kecil) dan nasi putih bersama kari hijau (green curry). Total 185 Baht.
Lokasi Restoran Salma sederet dengan Lee Garden Hatyai.
Sebahagian menu alacarte di Restoran Salma.
Bubur nasi dengan Ikan Tenggiri. Sesuai untuk anak-anak kecil.
Air Pegaga & Nasi dengan Green Curry
Paste Tom Yam(55 Baht), Kheong Som(55 Baht), dan Sambal Belacan Salma (120 Baht) juga ada dijual. Bolehlah beli untuk cuba sendiri di rumah 🙂

 

#7
STREET FOOD – MAKANAN JALANAN (HATYAI & SONGKLA)
Tidak ketinggalan adalah street food yang perlu dicuba. Tapi pastikan penjualnya adalah Muslim lah ya 😉
Suasana street food waktu malam.
Street food sekitar Hatyai dan Songkla.
Pulut Mangga 50 Baht. Street Food.

 

  • Sekian dulu untuk entri saya makan-makan di Hatyai. Ada banyak lagi yang kami belum cuba. Insyaallah akan kembali lagi ke Hatyai untuk makan…Nantikan entri kami seterusnya tentang Hatyai 😉
  • Nak mudah travel bersama anak kecil? lawati www.markassikecil.com.my untuk pelbagai kelengkapan travel yang bermanfaat!
Share

You Might Also Like

8 Comments

Leave a Reply to Fafa Aziz Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *